Diam seorang lelaki banyak maksudnya. Ada ketikanya diam itu kerana marah. Ada lelaki tidak suka mempamerkan kemarahan beliau melalui perkataan mahupun perbuatan. Lalu mendiamkan diri adalah yang terbaik baginya. Bagi beliau, diam itu satu terapi. Terapi untuk hilangkan kemarahan. Terapi untuk kawal rasa marah yang sedang membuak-buak. Seorang suami kalau kita perhatikan lebih banyak mendiamkan diri ketika marah. Sebenarnya itu lebih bagus. Kerana seorang suami perlu lebih banyak bersabar daripada melayan perasaan marah yang wujud.
Diam seorang lelaki juga kekadang berfikir. Seorang lelaki, apabila ada sesuatu yang mengganggu fikiran dia atau ada sesuatu yang perlu dia buat keputusan yang berat, mendiamkan diri buat seketika adalah yang terbaik. Dalam diam itu ada fikirnya. Dalam diam itu dia analisis setiap yang baik dan buruk terhadap keputusan yang bakal dia ambil. Jadi, kalau kita inginkan sesuatu jawapan dari lelaki, tetapi lelaki itu diam, jangan terus 'judge' dia dengan sesuatu yang salah. Beri dia masa untuk berfikir.
Diam seorang lelaki ada kalanya dia tidak suka. Perkara ini boleh dilihat dalam sikap seorang bapa. Bila ada sesuatu yang tidak sesuai di mata dia yang dibuat oleh anak-anak atau isteri, ada kalanya dia diamkan diri. Jangan salah anggap yang mendiamkan diri itu dia tidak mahu mengambil apa-apa tindakan. Sebenarnya dia cuba untuk elakkan berlakunya suatu pergaduhan besar selagi mana perkara yang dilakukan itu masih boleh dimaafkan.
Diam seorang lelaki juga adalah untuk memberi peluang. Seorang lelaki, apabila dia menerima seseorang dalam hidupnya, dia akan cuba memberi peluang kepada wanita itu. Ada ketikanya wanita itu lakukan sesuatu yang salah di mata dia, tapi dia masih mendiamkan diri. Itu bermaksud dia sedang memberi peluang. Tapi jangan berkali-kali lakukan, kelak nanti peluang itu sudah tiada.
Diam seorang lelaki ada kalanya sedang merancang sesuatu. Seorang lelaki tidak suka orang lain masuk campur terhadap perancangannya. Tapi bagi saya ini tidak baik sebenarnya. Nanti berlaku konflik terutama apabila sudah berumah tangga. Sesuatu rancangan itu perlu dibincangkan bersama isteri. Tetapi, bagi seorang lelaki bujang, mendiamkan diri ketika sedang merancang sesuatu adalah lebih baik. Ini kerana perancangan itu tidak diganggu oleh anasir-anasir luar yang tidak sepatutnya.
Jangan tafsirkan diam seorang lelaki itu tidak memahami
Jangan anggap diam seorang lelaki itu tidak menghargai
Jangan fikirkan diam seorang lelaki itu tidak mengambil tahu
Ada ketika, diam itu perlu kalau itu yang lebih baik
Tapi ada ketikanya,jangan pula tersalah diam pada sesuatu yang perlu dituturkan...
1132PM
070414
No comments:
Post a Comment